DARO: Amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif dalam tempoh enam bulan pertama perlu terus diperkukuh sebagai asas penting bagi memastikan bayi mendapat permulaan kehidupan yang sihat sebelum diteruskan bersama makanan pelengkap berkhasiat sehingga berusia dua tahun atau lebih.
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Safiee Ahmad berkata, kejayaan amalan penyusuan susu ibu bukan terletak pada tanggungjawab ibu semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada suami, keluarga, masyarakat dan pihak majikan.
Menurut beliau, sokongan keluarga termasuk membantu menguruskan rumah tangga, menjaga anak-anak lain serta memberikan ruang kepada ibu untuk berehat mampu memberikan kesan besar dalam membantu ibu meneruskan penyusuan dengan lebih yakin.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Penyusuan Lestari dan Generasi Sihat Klinik Kesihatan Daro 2026 di Dewan Masyarakat Daro, di sini, pada Sabtu.
Katanya, tempoh 1,000 Hari Pertama Kehidupan, bermula dari awal kehamilan sehingga anak berusia dua tahun, merupakan fasa penting dalam pembentukan pertumbuhan fizikal, perkembangan otak dan kesihatan kanak-kanak.
Justeru, katanya, usaha melahirkan generasi sihat perlu bermula sejak anak masih dalam kandungan, diteruskan melalui penyusuan susu ibu selepas kelahiran dan diperkukuh dengan pemberian makanan pelengkap yang berkhasiat apabila bayi mencapai usia enam bulan.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan aspek pemakanan kanak-kanak, khususnya dalam menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Daerah Daro.
Menurutnya, makanan yang diberikan kepada anak-anak bukan sahaja perlu mencukupi dari segi kuantiti, malah hendaklah seimbang, pelbagai, berkhasiat, bersih dan bersesuaian dengan peringkat umur.
Katanya, sumber makanan tempatan seperti ikan, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan boleh dimanfaatkan bagi menyediakan hidangan berkhasiat tanpa perlu bergantung kepada makanan mahal atau diimport.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani masalah kekurangan zat makanan tidak boleh diletakkan di bahu pihak kesihatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat ibu bapa, ahli keluarga dan seluruh komuniti.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya memberikan perhatian terhadap kesihatan wanita sepanjang hayat, bukan hanya ketika mengandung atau selepas bersalin, termasuk mendapatkan pemeriksaan serta menjalani saringan kesihatan yang disarankan.
Katanya, kesihatan ibu, anak dan keluarga saling berkait rapat, justeru para ibu juga perlu diberikan perhatian, sokongan dan peluang untuk menjaga kesihatan diri sendiri.
Program berkenaan turut diisi dengan ceramah pergigian dan pemakanan serta demonstrasi penyediaan makanan sihat bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai penjagaan kesihatan dan pemakanan seimbang.
Selain itu, sembilan reruai pameran disediakan meliputi Penyusuan Susu Ibu, Penjagaan Mesra Ibu, Pemakanan Kanak-kanak, Kesihatan Wanita, Kaunseling, Fisioterapi, Farmasi, Pergigian dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Dr. Safiee turut berharap agar kerjasama antara Klinik Kesihatan Daro, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat terus diperkukuh bagi meningkatkan tahap kesihatan komuniti di daerah itu.
Hadir sama, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr. Muhammad Najib Hasan @ Ahmad; Pegawai Perubatan Menguasa Klinik Kesihatan Daro, Dr. Fatih Nura’fidah Zulkifli dan Ketua Penyelia Jururawat Bahagian Mukah, Masniah Bahiri. - EDISI UKAS