Sukan Buka Ruang Anak Luar Bandar Serlah Potensi, Bina Daya Saing
BAU: Sukan membuka ruang kepada murid luar bandar menyerlahkan potensi diri, membina daya saing dan mengembangkan bakat sehingga mampu melangkah ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Billy Sujang berkata, latar belakang sekolah dan kemudahan yang sederhana tidak seharusnya menjadi penghalang kepada murid untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.
Menurutnya, sukan bukan sekadar medan mengejar kemenangan dan pingat, sebaliknya berperanan penting dalam membentuk disiplin, ketahanan mental, keyakinan diri serta semangat berpasukan dalam kalangan generasi muda.
“Kita tidak seharusnya memandang rendah kemampuan murid-murid dari sekolah luar bandar.
“Mungkin hari ini mereka berlari di padang sekolah yang sederhana, tetapi suatu hari nanti mereka berpeluang berlari di stadium yang lebih besar dan membawa nama Sarawak ke pentas yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tembawang 2026, di sini pada Sabtu.
Billy menjelaskan, pendidikan holistik perlu memberikan penekanan seimbang terhadap kecemerlangan akademik, pembangunan jasmani, ketahanan mental dan pembentukan nilai murni bagi melahirkan generasi yang berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau berkata TEGAS terus memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan, pembangunan bakat, keusahawanan, inovasi dan teknologi sebagai persediaan melahirkan generasi masa depan Sarawak yang berkualiti.
Katanya, penglibatan dalam sukan turut membantu membentuk kemahiran kepimpinan, kerjasama berpasukan, keyakinan diri dan semangat juang yang diperlukan dalam kehidupan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta komuniti setempat terus memperkukuh kerjasama dalam menyediakan persekitaran yang menggalakkan penglibatan murid dalam aktiviti sukan.
Beliau turut berharap kemudahan sukan di sekolah luar bandar diberikan perhatian berterusan bagi memastikan murid mempunyai akses dan peluang lebih baik untuk mengembangkan bakat masing-masing.
“Kita mungkin tidak dapat melahirkan seorang juara daripada setiap murid, tetapi kita mempunyai tanggungjawab untuk memberikan setiap murid peluang menjadi juara dalam bidang dan potensi masing-masing,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Matthew Apok, Guru Besar SK Tembawang, Chong Yung Foo dan Yang Dipertua PIBG SK Tembawang, Michael Benjo Sibong. -EDISI UKAS