Pusat Kebudayaan Orang Ulu Lambang Pemodenan Tanpa Meminggirkan Warisan
MIRI: Pembukaan Pusat Kebudayaan Orang Ulu bernilai RM37 juta menjadi simbol komitmen masyarakat Orang Ulu untuk bergerak seiring dengan arus pemodenan tanpa mengabaikan identiti, budaya dan warisan tradisi mereka.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pusat kebudayaan itu bukan sekadar menjadi tempat perhimpunan komuniti, malah melambangkan kesediaan masyarakat Orang Ulu menerima perubahan demi meningkatkan taraf hidup.
“Bangunan ini mencerminkan bahawa kita bersama untuk mengubah cara hidup kita tanpa mengkompromikan budaya kita dan untuk bergerak ke depan bagi meningkatkan standard hidup kita.
“Rumah ini adalah lambang bahawa orang Ulu akan sentiasa bersama dalam perubahan yang berlaku di negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Orang Ulu Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, pembangunan masyarakat perlu bergerak seiring dengan perubahan semasa melalui pendekatan baharu yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup, di samping memastikan nilai budaya dan warisan terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Pusat kebudayaan yang dibangunkan di atas tanah seluas lima ekar itu menerima peruntukan awal RM25 juta, diikuti tambahan RM7 juta pada 2023 dan RM5 juta pada Disember 2024, menjadikan keseluruhan kos pembangunan berjumlah RM37 juta.
Kompleks berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna, pejabat pentadbiran, pusat sumber, bilik seminar, galeri kebudayaan Orang Ulu, ruang terbuka dan taman landskap serta 416 petak tempat letak kereta.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Penasihat FORUM, Datuk Gerawat Gala, Timbalan Presiden FORUM, Dato Dennis Ngau, serta Residen Bintulu merangkap Presiden FORUM, Datu Nyurak Keti.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir