Pulau Bruit Berpotensi Diketengahkan Sebagai Tarikan Pelancongan
DARO: Pulau Bruit berpotensi diketengahkan sebagai destinasi pelancongan baharu berikutan keistimewaannya sebagai antara pulau terbesar di Malaysia serta mempunyai keunikan tersendiri dari segi akses perhubungan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, Pulau Bruit merupakan pulau ketiga di Malaysia yang dihubungkan melalui dua jambatan merentasi sungai selepas Pulau Carey dan Pulau Indah di Selangor.
"Keistimewaan ini boleh dijadikan identiti tersendiri dalam usaha mempromosikan Pulau Bruit sebagai destinasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Pulau Bruit-Temasya Lautani yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Tapak Utama Pesta, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan kawasan perumahan RGC dibangunkan berkonsepkan perumahan dalam dusun bagi mewujudkan tarikan tambahan kepada pengunjung.
"Usaha ini boleh dilaksanakan menerusi penanaman pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman lain di kawasan belakang rumah penduduk.
"Selain mencantikkan persekitaran perumahan, konsep berkenaan berpotensi membuka peluang ekonomi kepada penduduk menerusi hasil tanaman serta tarikan pelancongan berasaskan pertanian," tambahnya. - EDISI UKAS