Peruntukan RM37 Juta Realisasikan Pembinaan Pusat Kebudayaan FORUM
MIRI: Peruntukan RM37 juta daripada Kerajaan Sarawak membolehkan pembinaan Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) direalisasikan sebagai pusat pemeliharaan identiti, warisan dan kebudayaan masyarakat Orang Ulu.
Mantan Presiden FORUM, Kennedy Chukpai Ugon berkata, kelulusan peruntukan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merupakan antara faktor utama yang membolehkan projek berkenaan dilaksanakan sehingga siap.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis perasmian Pusat Kebudayaan FORUM yang disempurnakan oleh Premier Sarawak di sini pada Sabtu.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu berdepan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19, ketidaktentuan geopolitik serantau serta peningkatan kos bahan binaan.
Jelasnya, pusat kebudayaan berkenaan bukan sekadar kemudahan fizikal, malah menjadi simbol identiti, maruah dan perpaduan masyarakat Orang Ulu serta platform penyatuan pelbagai persatuan etnik di bawah naungan FORUM.
Beliau turut menghargai sokongan Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan aspirasi masyarakat Orang Ulu untuk memiliki pusat kebudayaan sendiri bagi memastikan warisan dan tradisi mereka terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Kennedy turut menegaskan bahawa komitmen beliau terhadap FORUM dan masyarakat Orang Ulu akan terus kekal meskipun tidak lagi menerajui persatuan berkenaan.-EDISI UKAS