Kerjasama Strategik Pacu Potensi Pelancongan Sukan Di Limbang
LIMBANG: Kerjasama strategik antara persatuan tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan perlu diperkukuh bagi memperluas penganjuran acara sukan serta mengetengahkan Limbang sebagai destinasi pelancongan sukan di peringkat serantau.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penglibatan aktif pelbagai pihak penting bagi memastikan penganjuran program sukan dan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada inisiatif kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.
Menurutnya, penubuhan jawatankuasa khas melibatkan persatuan tempatan, persatuan anak Limbang di perantauan dan agensi kerajaan boleh menjadi platform penyelarasan program secara lebih sistematik dan berkesan.
Katanya, kerjasama tersebut berpotensi diperluas menerusi penganjuran acara seperti maraton dan berbasikal yang mampu menarik penyertaan dari dalam serta luar negara, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Limbang LUSIRun 2026 di sini pada Sabtu.
Datuk Hasbi turut menjelaskan bahawa pembangunan Lebuhraya Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 2 bakal membuka peluang untuk meneroka laluan sukan dan rekreasi baharu di kawasan pedalaman, termasuk sekitar Gunung Mulu dan Gunung Muda.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan anak-anak Limbang, termasuk yang berada di perantauan, menyumbang kepakaran, pengalaman dan jaringan masing-masing bagi memperluas promosi potensi sukan serta pelancongan daerah berkenaan.
Sementara itu, Limbang LUSIRun 2026 anjuran Persatuan Anak-Anak Limbang Sarawak (PAALS) dan Dang Sanak Limbang Miri (DSLM) berjaya menghimpunkan peserta dari Brunei Darussalam, Indonesia, Sabah, Labuan dan Semenanjung Malaysia, sekali gus memperlihatkan potensi daerah itu sebagai lokasi penganjuran acara sukan bertaraf serantau.
Turut hadir wakil Residen Bahagian Limbang, Cherylynna Leeza Roland, Penolong Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat, Pengerusi PAALS, Petra Sulai dan Pengerusi DSLM, Sabtu Matali.-EDISI UKAS