Perpaduan Masyarakat, Kerjasama Agensi Pacu Pembangunan Pulau Bruit
DARO: Perpaduan masyarakat dan kerjasama erat antara agensi kerajaan menjadi asas penting dalam memastikan pembangunan Pulau Bruit terus diperkasakan demi kesejahteraan penduduk.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, masyarakat perlu terus bersatu padu, saling menghormati pemimpin di peringkat kampung serta mengelakkan sikap berprasangka buruk, kebencian dan fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian.
"Semangat kerjasama amat penting kerana usaha pembangunan tidak dapat digerakkan oleh seseorang pemimpin sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan seluruh masyarakat dan agensi kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Pulau Bruit-Temasya Lautani yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Tapak Utama Pesta, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah memaklumkan Persatuan AI Sarawak akan mengadakan program berkaitan kecerdasan buatan (AI) dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pulau Bruit pada Ahad.
Program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada golongan muda dan belia mengenai penggunaan teknologi AI, termasuk peluang menceburi bidang penciptaan kandungan dan pempengaruh digital.
Sehubungan itu, golongan muda yang berminat digalakkan menyertai program berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan serta meneroka potensi teknologi digital.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan penduduk, khususnya petani dan nelayan, mendaftar menerusi platform e-Tani di bawah Sarawak Pass bagi membolehkan maklumat mereka direkodkan sebagai rujukan agensi kerajaan.
Tambahnya, pendaftaran itu penting bagi memudahkan penyelarasan bantuan, penyediaan input pertanian serta peluang pembangunan keusahawanan yang ditawarkan kerajaan. - EDISI UKAS