Faktor Usia, Kemahiran Antara Pertimbangan Pemilihan Calon GPS
MIRI: Faktor usia, kemahiran dan prestasi menjadi antara kriteria yang diberi perhatian oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menentukan barisan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, proses penilaian calon turut mengambil kira maklum balas serta pertambahan golongan muda dalam masyarakat.
“Selalunya kita akan melihat, bukan sahaja performance tetapi kita akan melihat feedback. Dan juga disebabkan penambahan orang muda, jadi kita perlu mengambil itu sebagai perhatian dari segi kemahiran dan juga tahap usia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Kebudayaan Orang Ulu, Federation of Orang Ulu Associations Sarawak Malaysia (FORUM) di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, perubahan komposisi usia masyarakat merupakan antara faktor yang perlu diberikan perhatian dalam proses pemilihan calon.
Penilaian tersebut merupakan sebahagian daripada pertimbangan GPS dalam menentukan barisan calon bagi menghadapi PRN Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir