UKAS Anjur Bengkel NEWS360 Tingkat Kemahiran Pengamal Media Di Zon Tengah
SIBU: Seramai 50 peserta berjaya menamatkan Bengkel NEWS360: Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk TV, Radio dan Digital 2026 yang berlangsung di Hotel Premier di sini, pada 6 hingga 7 November.
Bengkel dua hari itu disertai peserta daripada warga Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pengamal media tempatan serta persatuan wartawan dari wilayah tengah.
Bengkel itu merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak melalui UKAS untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta profesionalisme pengamal media dalam bidang kewartawanan dan komunikasi, khususnya penulisan berita dan laporan khas merangkumi platform televisyen, radio serta digital.
Menurut sekretariat bengkel, Wilma Stanley Geramong, penganjuran siri pertama di Zon Tengah itu amat bermakna sebelum bengkel sama diteruskan di Kuching dan seterusnya Miri.
Beliau berkata, program berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh kemahiran pengamal media dalam menghadapi perkembangan landskap kewartawanan yang semakin meluas merangkumi pelbagai platform penyampaian maklumat.
Katanya, bengkel berkenaan merupakan siri pertama daripada tiga siri yang dirancang UKAS bagi memastikan lebih ramai pengamal media di seluruh Sarawak mendapat manfaat daripada latihan tersebut.
Bengkel itu menampilkan dua penceramah jemputan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), iaitu Profesor Madya Dr Nik Adzrieman Abdul Rahman, Dekan UUM Kampus Kuala Lumpur, dan Profesor Madya Dr Bahtiar Mohamad, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Perhubungan Korporat) UUM Kampus Kuala Lumpur.
Terdahulu, para peserta turut diberi taklimat mengenai Persediaan Gerak Kerja, Pengurusan Maklumat dan Cabaran Wartawan oleh Penolong Pengarah UKAS, Yushairi Raduan, dan UKAS Help Desk oleh Timbalan Pengarah 1 UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali.
Antara pengisian bengkel termasuk pemahaman mengenai kepentingan berita, struktur berita menggunakan kaedah piramid terbalik dan 5W1H, penulisan yang jelas, adil dan neutral serta teknik temu bual, pengesahan fakta dan penggunaan sumber maklumat.
Peserta turut mengikuti latihan praktikal penulisan berita, penggunaan data, foto dan kapsyen serta aspek etika, keselamatan dan penerbitan bertanggungjawab.
Bengkel itu turut dihadiri Timbalan Pengarah II UKAS, Joachim Paggang Jabong, Pegawai UKAS Bahagian Sibu, Jelani Ajang, Presiden Persatuan Wartawan Sibu (SJA), Florence Nervyn dan Pengerusi Institute of Rejang Journalists (IRJ), Yii Souk Ming.-EDSI UKAS