Batik Linut Diperkenal Sebagai Produk Kraf Unik Komuniti Betong
BETONG: Batik Linut berpotensi dikembangkan sebagai produk kraf warisan unik Sarawak, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, usaha memperkenalkan dan memperluaskan penghasilan produk seperti batik Betong dari linut perlu dipergiatkan bagi mewujudkan produk tempatan yang mempunyai nilai komersial serta berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pelancongan.
Beliau turut mencadangkan agar hasil batik buatan tangan ditawarkan pada harga yang bersesuaian dengan kemampuan pasaran, dengan mengambil kira kos bahan, penggunaan kain dan masa yang diperlukan untuk menyiapkan setiap produk.
Datuk Gerald berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Batik Linut 2026 anjuran Jawatankuasa Agrokraf Borneo di Surau Darul Dakwah, Kampung Tengah Betong, pada Sabtu.
Menurut beliau, penganjuran bengkel seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mempelajari kemahiran baharu, malah mampu membuka ruang kepada penduduk menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi keluarga.
Beliau juga berharap lebih ramai golongan muda akan melibatkan diri dalam bidang kraf tangan, termasuk mempelajari kemahiran menghasilkan produk seperti pakaian dan tudung yang mempunyai potensi pasaran pada masa hadapan.
Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Agrokraf Borneo, Datin Rosemarie Wong berkata, teknik Batik Linut merupakan pendekatan baharu yang diperkenalkan di Sarawak dengan menggunakan linut sebagai bahan dalam proses penghasilan batik, berbeza daripada teknik tradisional yang menggunakan lilin.
Beliau menjelaskan, Jawatankuasa Agrokraf Borneo giat melaksanakan projek pembangunan komuniti luar bandar dengan menggalakkan penyertaan penduduk rumah panjang, termasuk golongan muda seawal usia 10 tahun, menerusi latihan dan bengkel kemahiran kraf tangan.
Menerusi misi 'Satu Kampung, Satu Produk Unik', setiap komuniti digalakkan menghasilkan produk identiti tersendiri berdasarkan kreativiti dan kemahiran tempatan. Setakat ini, sebanyak 12 rumah panjang aktif terlibat dalam penghasilan produk kraf, termasuk alas meja di Rumah Panjang Merinjau dan tudung kipas anyaman seni di Rumah Panjang Kerapa.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek Batik Linut yang diperluaskan ke Kampung Melayu bagi menyediakan peluang pendapatan sampingan kepada penduduk, khususnya golongan yang terlibat dalam aktiviti pertanian seperti penanaman lada.
Bagi menyokong pelaksanaan projek tersebut, kemudahan bilik jahitan yang kondusif serta mesin jahit berkualiti tinggi turut disediakan.
Pengeluaran akan dimulakan secara kecil-kecilan sebelum diperluaskan kepada produk kain pasang dan bahan untuk pembuatan baju kemeja.
Datin Rosemarie turut menekankan kepentingan komitmen dan disiplin peserta dalam memastikan setiap tempahan pelanggan dapat disiapkan mengikut standard serta tempoh yang ditetapkan demi menjamin kelangsungan projek.
Bengkel tersebut mendapat kerjasama Penghulu Kon Spawi yang menyediakan lokasi program, Majlis Kraf Sarawak yang akan menghantar pegawai bagi memantau standard dan kualiti produk, serta Jawatankuasa Agrokraf Borneo selaku penganjur.
Bengkel tersebut disertai seramai 26 peserta dari enam kampung, iaitu Kampung Tengah Betong, Kampung Hilir Betong, Kampung Baru Hilir Betong, Kampung Masjid Betong, Kampung Pasa Betong dan Kampung Baru Hulu Betong.
Turut hadir, Penghulu Kampung Melayu Betong, Kon Spawi serta Ketua Kampung Tengah, Abang Kamarudin. - EDISI UKAS