MOTAC Mahu Jadikan Sukan Memanah Sebagai Produk Pelancongan Sukan Di Sarawak
SIBU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhasrat menjadikan sukan memanah sebagai salah satu produk pelancongan sukan Malaysia menerusi perancangan untuk menyokong penganjuran pertandingan memanah antarabangsa berskala besar di Sibu tahun depan.
Menterinya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, MOTAC bersama Tourism Malaysia bersedia bekerjasama dengan persatuan sukan tempatan bagi menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa di Sarawak.
“Saya telah mencadangkan kepada pengerusi penganjur supaya mengemukakan kertas cadangan untuk tahun depan. Sebagai sebahagian daripada kempen Melawat Malaysia yang dilanjutkan sehingga 2027, kita boleh mengetengahkan acara ini sebagai salah satu acara sukan utama di Sarawak, khususnya di Sibu.
“Pada masa sama, saya akan berbincang dengan kementerian dan Tourism Malaysia untuk menjadikan sukan memanah sebagai produk pelancongan yang berpotensi serta menggalakkan lebih ramai peserta antarabangsa berkunjung ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Bengkel Kejurulatihan Memanah dan Kesejahteraan Antarabangsa 2026 di Kingwood Hotel di sini, pada Sabtu.
Bagi menyokong inisiatif berkenaan, Dato Sri Tiong mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 kepada Persatuan Memanah Bahagian Sibu bagi menganjurkan bengkel itu.
Beliau memuji langkah proaktif persatuan berkenaan dalam menghimpunkan pakar antarabangsa dan jurulatih tempatan bagi meningkatkan standard latihan serta mencungkil bakat baharu dalam sukan memanah.
“Memanah merupakan sukan yang memerlukan disiplin, fokus dan kesabaran. Selain mengejar kemenangan dan pingat, sukan ini turut membina kekuatan mental serta keyakinan diri.
“Atas sebab itu, aspek kesejahteraan atlet wajar diberikan perhatian yang sama penting seperti prestasi,” katanya.
Beliau turut menggalakkan persatuan berkenaan bekerjasama dengan sekolah, komuniti tempatan dan badan sukan bagi memperluas penyertaan golongan muda serta menjadikan sukan memanah lebih mudah diakses.
Katanya, penganjuran program melibatkan peserta dan jurulatih antarabangsa memberi peluang kepada pemanah tempatan memperoleh pendedahan berharga, bertukar kepakaran teknikal serta membina hubungan sukan di peringkat antarabangsa.-EDISI UKAS