Aktiviti Merentas Hutan Galak Gaya Hidup Sihat, Erat Hubungan Komuniti
BINTULU: Aktiviti rekreasi berasaskan sukan seperti merentas hutan mampu menjadi platform dalam membudayakan gaya hidup sihat, selain mengeratkan hubungan masyarakat menerusi penyertaan secara berkumpulan.
Aktiviti seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat melakukan senaman dalam suasana alam semula jadi, malah menyediakan pengalaman dan cabaran berbeza menerusi penggunaan laluan serta lokasi yang berlainan.
Di Bintulu, Bintulu Hash House Harriers merupakan antara kumpulan yang konsisten menganjurkan aktiviti riadah mingguan setiap Jumaat pada jam 5.30 petang bagi menggalakkan masyarakat kekal aktif.
Penganjuran yang telah berlangsung lebih 30 tahun itu turut memperlihatkan bahawa aktiviti fizikal berkenaan boleh disertai pelbagai peringkat umur, termasuk peserta berusia 92 tahun yang masih mampu berlari sejauh tujuh hingga lapan kilometer.
Aktiviti Bintulu Hash House Harriers Trail Run yang bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 2 di sini, pada Jumaat, menghimpunkan hampir 100 peserta.
Peserta turut melalui laluan berbukit dan kawasan hutan yang memberikan cabaran fizikal, selain menggalakkan interaksi serta semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.- EDISI UKAS