Kejohanan Bola Sepak Perkukuh Kerjasama Warga Perkhidmatan Awam Di Miri
MIRI: Kejohanan Bola Sepak Sarawak Antara Jabatan Miri menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim, semangat berpasukan dan kerjasama dalam kalangan warga perkhidmatan awam menerusi penglibatan 15 pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Ketua Seksyen Pembangunan Sukan, Ibu Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Kerry Edison Edgar berkata, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, malah membuka ruang kepada warga jabatan dan agensi untuk berinteraksi serta mengeratkan hubungan di luar persekitaran kerja.
Menurutnya, perbezaan jabatan, pangkat dan jawatan diketepikan apabila semua peserta berganding bahu sebagai satu pasukan dengan matlamat yang sama.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kejohanan berkenaan di Kelab Rekreasi Petroliam (KRP), Lutong, pada Sabtu.
Tambahnya, semangat kebersamaan, saling mempercayai, menghormati dan bekerjasama merupakan nilai penting yang perlu dipupuk menerusi aktiviti sukan.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu bermula pada Sabtu dan berakhir pada Ahad, dengan penyertaan 15 pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Turut hadir, Pegawai Penguasa MYSED Bahagian Miri Nuruddin Sabali, Presiden Miri FA Mohammad Saif Jubaidi serta ketua dan wakil ketua jabatan.- EDISI UKAS