Kerjasama PIBG Dan Komuniti Kunci Kecemerlangan Pendidikan
BETONG: Kerjasama erat antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak sekolah serta komuniti merupakan elemen penting dalam memastikan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan potensi murid.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, tanggungjawab memastikan kejayaan pendidikan tidak boleh bergantung kepada pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan penglibatan aktif ibu bapa serta komuniti.
Menurut beliau, penggunaan teknologi dalam pendidikan juga perlu dipertingkatkan bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, sekali gus mempersiapkan murid menghadapi perkembangan teknologi pada masa hadapan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, bahan pembelajaran kini semakin mudah diakses menerusi telefon pintar, membolehkan murid mendapatkan maklumat dan bahan rujukan pada bila-bila masa serta di mana-mana sahaja.
Beliau turut menekankan kepentingan penyediaan kemudahan pembelajaran yang kondusif, bimbingan berterusan daripada guru serta penambahbaikan infrastruktur sekolah bagi menyokong perkembangan akademik dan potensi murid.
Datuk Gerald berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Lawih, Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, pada Sabtu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, PIBG berperanan sebagai platform penting yang menghubungkan pihak sekolah, guru dan ibu bapa dalam menyampaikan pandangan, berkongsi idea serta menyokong pelaksanaan aktiviti akademik dan kokurikulum.
Menurut beliau, hubungan baik antara semua pihak mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif, selamat dan kondusif demi kebajikan serta masa depan murid.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan pembangunan Sarawak.
Katanya, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) mulai 2026 merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memperluas peluang pendidikan tinggi kepada anak negeri ini yang layak.
Selain itu, beliau menggalakkan ibu bapa dan guru memupuk minat murid terhadap bidang sains dan matematik sejak peringkat awal persekolahan, di samping memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melalui Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP).
Pada majlis sama, Dato Dr. Richard mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Nanga Lawih bagi menyokong aktiviti serta keperluan sekolah.
Majlis anjuran PIBG SK Nanga Lawih itu turut menyaksikan penjualan sebanyak 27 meja kepada komuniti setempat dan warga sekolah di kawasan Layar.
Turut hadir Guru Besar SK Nanga Lawih, Banie Unya, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Emparie Tom, Yang Dipertua PIBG SK Nanga Lawih, Robard Lee serta Penghulu Ajang Tibu, Penghulu Kawasan Spak. - EDISI UKAS