Ibu Bapa Disaran Hadkan Masa Skrin, Utamakan Aktiviti Fizikal Anak
KOTA SAMARAHAN: Ibu bapa perlu mengawal penggunaan gajet dan memperbanyak aktiviti fizikal dalam rutin harian kanak-kanak bagi memastikan perkembangan mereka seimbang dari aspek kesihatan, emosi, sosial dan intelektual.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, perkembangan kanak-kanak tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah, kreativiti serta kemahiran berinteraksi.
Menurutnya, penggunaan peranti digital secara berlebihan boleh mengehadkan peluang kanak-kanak untuk bermain, bergerak dan berinteraksi secara langsung dengan persekitaran, sekali gus menjejaskan keseimbangan perkembangan mereka.
Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun mengehadkan masa skrin sedentari kepada tidak lebih satu jam sehari, manakala kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun perlu melakukan sekurang-kurangnya 180 minit aktiviti fizikal sepanjang hari.
“Kanak-kanak memerlukan kasih sayang, perlindungan dan peluang untuk belajar serta bermain dalam persekitaran yang selamat.
“Jangan jadikan gajet sebagai jalan mudah untuk menenangkan anak-anak. Sebaliknya, luangkan masa bersama mereka dan galakkan aktiviti yang dapat merangsang perkembangan minda serta fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Samarahan 2026 bertemakan ‘Impian dan Hak Masa Depan Kami’ di Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), di sini pada Sabtu.
Datuk Rubiah turut menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dengan meluangkan masa bersama anak-anak, mendengar pandangan mereka serta memberikan perhatian terhadap keperluan emosi dan perkembangan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan membendung gejala buli dengan memastikan setiap aduan atau keluhan kanak-kanak diberikan perhatian serius oleh ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah.
Katanya, penerapan nilai empati, toleransi, kesabaran dan rasa hormat terhadap orang lain perlu bermula sejak usia awal bagi membentuk peribadi yang baik serta mewujudkan persekitaran sosial yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
Beliau turut menggalakkan penyediaan lebih banyak ruang dan aktiviti komuniti yang selamat serta inklusif supaya semua kanak-kanak, termasuk mereka yang mempunyai kelainan upaya, berpeluang mengembangkan potensi masing-masing.
Turut hadir, Pengarah Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Dato Chek Bujang dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Aziah Saruji. -EDISI UKAS