Pembangunan Infrastruktur Pacu Kemajuan Pulau Bruit
SEMOP: Pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak sejak lebih sedekad lalu terus membawa perubahan ketara kepada kehidupan penduduk di Pulau Bruit, khususnya dari segi kemudahan perhubungan dan akses kepada perkhidmatan asas.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perubahan itu dapat dilihat menerusi pembinaan jalan raya, jambatan serta penyediaan kemudahan bekalan elektrik yang semakin menghubungkan kawasan berkenaan dengan kawasan lain.
Menurutnya, pembangunan tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan kawasan luar bandar dan pedalaman turut menikmati kemudahan infrastruktur yang diperlukan.
"Pembinaan Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Paloh, selain jaringan jalan raya, telah meningkatkan hubungan antara Pulau Bruit dengan kawasan sekitarnya sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan aktiviti ekonomi.
"Kemudahan infrastruktur turut memberi manfaat kepada golongan nelayan dan petani, khususnya dalam memasarkan hasil pertanian serta tangkapan laut ke pasaran yang lebih luas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Pulau Bruit-Temasya Lautani di Tapak Utama Pesta, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Karim turut berharap penganjuran acara itu dapat terus meningkatkan kesejahteraan penduduk serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Ujarnya, dengan adanya kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan penyimpanan sejuk, hasil laut dapat disimpan lebih lama sebelum dipasarkan, sekali gus membantu meningkatkan nilai jualan serta pendapatan penduduk.
Sehubungan itu, Pesta Laut Tani berpotensi dikembangkan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Pulau Bruit.
Menurutnya, penganjuran acara seumpama itu bukan sahaja memperkenalkan keunikan kawasan berkenaan, malah memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan melalui jualan makanan, kraftangan dan penyediaan penginapan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus memelihara keharmonian serta bekerjasama menangani cabaran sosial yang mungkin timbul seiring dengan perkembangan pembangunan, termasuk masalah penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah.
Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Residen Bahagian Mukah Bujang, Rahman Seli dan Pegawai Daerah Daro, Zul Usup. - EDISI UKAS