Kampung Taee Jadi Lokaliti Rintis Komuniti Bebas Denggi Di Sarawak
SERIAN: Kampung Taee dipilih sebagai salah satu lokaliti rintis pelaksanaan Inisiatif Komuniti Bebas Denggi (KomBeD) di Sarawak bagi memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan penyakit denggi melalui penglibatan aktif masyarakat setempat.
Inisiatif itu diperkasakan menerusi Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Sarawak sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Kampung Taee pada Sabtu.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam), Dr. Muhammed Nazarudin Bahari berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan amat penting susulan peningkatan ketara kes denggi di Sarawak, termasuk Bahagian Serian.
Menurut beliau, sehingga Minggu Epidemiologi ke-41 tahun 2026, sebanyak 926 kes denggi direkodkan di Sarawak berbanding 579 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 347 kes atau 59.9 peratus.
“Bagi Bahagian Serian pula, sebanyak 100 kes dilaporkan berbanding 40 kes pada 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 150 peratus,” katanya.
Peningkatan itu menuntut kerjasama lebih erat antara pihak kesihatan, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk bagi memastikan langkah pencegahan denggi dilaksanakan secara konsisten.
Pelaksanaan KomBeD berteraskan Strategi 3E, iaitu Environmental Management (Pengurusan Persekitaran), Empowerment (Pemerkasaan) dan Entomology Intervention (Intervensi Entomologi).
Pendekatan itu menekankan pengurusan kebersihan persekitaran, pemerkasaan komuniti dalam pemeriksaan kawasan kediaman serta pelaksanaan kawalan dan pemantauan nyamuk Aedes secara lebih berfokus.
Program berkenaan melibatkan kira-kira 300 penduduk daripada enam zon komuniti Kampung Taee menerusi pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, berjalan sambil mengutip sampah (plogging), pertandingan mewarna dan pameran interaktif agensi.
Dalam pada itu, masyarakat turut digalakkan mengamalkan konsep 10 Minit Seminggu dengan memeriksa kawasan kediaman dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, khususnya bekas yang berpotensi menakung air.
Kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Serian, Pejabat Daerah, agensi kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat diharap dapat menjadikan Kampung Taee sebagai model komuniti proaktif dalam pencegahan denggi untuk dicontohi kawasan lain di Sarawak.
Turut hadir Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari, Pegawai Kesihatan Bahagian Serian, Dr. Marjorie Ensayan Junting, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Diana Jawa, Dr. Simon Sinang Bada, wakil Pegawai Daerah Tebedu, Muhd Faiz Rusydi dan KK Prisca Agin.-EDISI UKAS