MIRI: Wanita berperanan sebagai rakan strategik dalam memacu kemajuan Sarawak menerusi sumbangan idea, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam pembangunan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata golongan itu perlu diberi peluang, sokongan dan ruang untuk mengembangkan potensi serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Kita mahu wanita bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan, tetapi turut menjadi rakan strategik, penyumbang idea dan penggerak kepada kemajuan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Persatuan Wanita Kayan Telang Usan Miri (DKTU), di sini pada Sabtu.
Datuk Gerawat berkata, penglibatan wanita dalam kepimpinan akar umbi turut dicerminkan melalui pelantikan 12 wanita sebagai ketua kaum dan ketua masyarakat di kawasan yang diwakilinya.
Jumlah itu merangkumi empat ketua rumah kaum Iban, masing-masing dua ketua kaum Berawan dan Kenyah serta tiga ketua kaum dan seorang ketua masyarakat Melayu.
“Kepimpinan tidak ditentukan oleh jantina tetapi melalui kebolehan, integriti, kebijaksanaan, keberanian dan kesediaan seseorang untuk memikul amanah,” ujarnya.
Dalam hubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi DKTU, Temenggong Elizabeth Deng atas sumbangan dan perjalanan kepimpinannya yang menjadi inspirasi kepada golongan wanita.
Datuk Gerawat menggesa persatuan itu mempergiat usaha mendokumentasikan, memelihara dan mempromosikan warisan budaya Kayan dengan melibatkan generasi muda.
Pada majlis itu turut disampaikan insentif Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025, Bantuan DKTU Prihatin dan penyerahan Buku Pengurip kepada tetamu kehormat. –EDISI UKAS