Sumbangan RM100,000 Bantu Pusat Dialisis PBSM Miri Peroleh Dua Mesin Baharu
MIRI: Pusat Dialisis Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Miri menerima sumbangan RM100,000 bagi pembelian dua mesin dialisis baharu untuk memperkukuh kemudahan rawatan pesakit di pusat berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sumbangan itu amat bermakna memandangkan jumlah pesakit dialisis semakin meningkat, selain keperluan menggantikan peralatan sedia ada yang semakin usang.
Beliau berkata, sokongan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan pusat dialisis terus menyediakan kemudahan rawatan yang diperlukan pesakit, sekali gus membantu meringankan beban mereka serta keluarga.
Menurut beliau, beliau menyaksikan sendiri perkembangan pusat berkenaan sejak terlibat dalam penubuhannya pada 1995 dan telah berkhidmat sebagai pengerusi selama 31 tahun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Konsert Amal Sempena Ulang Tahun Ke-40 Miri Harmony Culture Society, di sini pada Sabtu.
Selain sumbangan kepada pusat dialisis PBSM Miri, dua sekolah turut menerima sumbangan masing-masing RM10,000, iaitu Sekolah Menengah Pei Min Miri dan Sekolah Menengah Jalan Riam Miri.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee memuji komitmen Miri Harmony Culture Society yang berjaya mengekalkan kelangsungan persatuan selama empat dekad menerusi penglibatan dan pengorbanan berterusan barisan jawatankuasa serta ahlinya.
Beliau turut menekankan kepentingan persatuan berkenaan melibatkan golongan muda dalam aktiviti seni dan kebajikan bagi memastikan kesinambungan warisan budaya serta nilai keprihatinan masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan bandaraya Miri bukan hanya bergantung kepada tanggungjawab kerajaan, malah memerlukan penglibatan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan. Kemajuan sebenar sesebuah bandar turut diukur melalui tahap keprihatinan dan kesediaan masyarakat untuk saling membantu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, Temenggong Yong Vui Seng serta Penghulu Betty Pong Hong Kin. -EDISI UKAS