LIMBANG: Sebanyak 89 buah gereja di kawasan Parlimen Limbang menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM234,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta keperluan pembangunan institusi keagamaan masing-masing.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sokongan kepada institusi keagamaan turut penting dalam memperkukuh peranan pemimpin agama dan masyarakat untuk memelihara perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurut beliau, setiap pemimpin agama dan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan hubungan antara komuniti terus terpelihara menerusi sikap saling menghormati perbezaan agama, bangsa dan cara hidup.
“Pemimpin agama dan masyarakat memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian dan perpaduan, selain memastikan masyarakat terus berpegang teguh kepada agama dan negara serta mengekalkan hubungan baik antara kaum dan agama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat: Majlis Penyampaian Geran MRP kepada Gereja-Gereja Parlimen Limbang, pada Sabtu.
Datuk Hasbi berkata, sebarang perselisihan dalam masyarakat perlu ditangani menerusi perbincangan dan permuafakatan bagi mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan hubungan antara komuniti.
Beliau turut menekankan kepentingan nilai kejujuran, keikhlasan dan tanggungjawab dalam kepimpinan kerana nilai tersebut menjadi asas kepada keharmonian keluarga, masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap ancaman keselamatan siber serta bijak menilai maklumat yang disebarkan menerusi media sosial, khususnya kandungan berunsur fitnah dan hasutan yang boleh menjejaskan perpaduan serta kestabilan negara.
Beliau berharap pemimpin agama, masyarakat dan organisasi terus memainkan peranan masing-masing dalam memupuk persefahaman serta mengekalkan keamanan dan kesejahteraan Sarawak.-EDISI UKAS