Pam Terapung Langkah Jangka Pendek Atasi Gangguan Bekalan Air Di Lawas
LAWAS: Pemasangan pam terapung menjadi langkah jangka pendek Kerajaan Sarawak bagi menangani masalah mendapan pasir di kawasan pengambilan air yang menjejaskan bekalan kepada penduduk di Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha berkenaan dilaksanakan sementara projek peningkatan kapasiti loji rawatan air dan pembangunan sistem pengambilan air baharu disediakan sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Isu bekalan air di Lawas terus diberi perhatian kerajaan bagi memastikan keperluan penduduk dapat ditangani menerusi langkah segera dan perancangan pembangunan infrastruktur yang lebih menyeluruh,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Lawas 2026 di Tebingan Lawas, pada Sabtu.
Selain bekalan air, pembangunan infrastruktur di Lawas dan Limbang turut diperkukuh menerusi pelaksanaan projek Lebuhraya Pesisir Utara, pembinaan lapangan terbang baharu Lawas serta usaha meningkatkan hubungan pengangkutan darat, laut dan udara.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, kedua-dua kawasan itu turut mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pertanian, khususnya dalam pengeluaran padi dan penternakan kerbau, selain sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi serta industri minyak dan gas.
Beliau menambah, pembangunan modal insan perlu terus diperkasakan bagi memenuhi keperluan sektor ekonomi baharu termasuk ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, industri semikonduktor, minyak dan gas serta aktiviti ekonomi rendah karbon.
Dalam pada itu, penganjuran semula Pesta Lawas selepas beberapa tahun tidak diadakan turut membuka ruang kepada usahawan kecil dan agensi berkaitan untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan, selain memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat setempat.
Beliau berkata, pesta berkenaan bukan sahaja menghidupkan kembali acara tradisi masyarakat, malah menjadi platform merapatkan hubungan silaturahim dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.
Beliau berkata, Pesta Lawas merupakan platform untuk merapatkan hubungan persahabatan dalam kalangan masyarakat serta memperkukuh semangat perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain.
Beliau berharap penganjuran pesta berkenaan dapat diteruskan dengan penyertaan lebih meluas, termasuk dari Brunei Darussalam, Sabah, Labuan dan kawasan lain.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datu Lester Matthew, Konsul Jeneral Republik Indonesia Dr Abdullah Zulkifli, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Ketua Pegawai Eksekutif ‘Sarawak Trade and Tourism Office’ Brunei Darussalam (STATOB) Samad Junai serta Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad. -EDISI UKAS