Kemahiran Hidup, Keyakinan Diri Perlu Diterapkan Sejak Usia Awal
MIRI: Pendidikan awal kanak-kanak perlu melangkaui pembelajaran akademik dengan memberi penekanan kepada kemahiran hidup dan aktiviti praktikal bagi membentuk generasi yang berdikari, bertanggungjawab serta yakin menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendedahan kepada aktiviti harian seperti memasak, mencuci pinggan dan membantu ibu bapa melakukan kerja rumah merupakan antara kaedah penting untuk memupuk sikap berdikari dalam kalangan kanak-kanak sejak kecil.
Menurut beliau, kemahiran tersebut bukan sahaja membentuk rasa tanggungjawab, malah membantu kanak-kanak menguruskan keperluan diri apabila melanjutkan pelajaran atau tinggal berjauhan daripada keluarga kelak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Aktiviti Sukaneka 2026 anjuran Tadika Cahaya Bintang Utara, di sini pada Ahad.
Selain kemahiran hidup, Dato Sri Lee turut menekankan kepentingan membina keyakinan diri melalui pendekatan pembelajaran yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mencuba, meneroka dan melakukan kesilapan tanpa rasa takut.
Beliau berkata, guru perlu memainkan peranan aktif dalam menggalakkan penyertaan murid, termasuk memberi ruang kepada mereka menyuarakan pendapat dan menjawab soalan walaupun jawapan yang diberikan tidak semestinya tepat.
Menurutnya, budaya pembelajaran yang terlalu menekankan ketepatan jawapan sehingga menyebabkan murid takut melakukan kesilapan boleh menjejaskan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan mereka berfikir secara kritis.
Berdasarkan pengalamannya melawat sebuah sekolah di United Kingdom, beliau mendapati kanak-kanak seawal usia enam tahun telah didedahkan kepada pembelajaran sains secara praktikal, termasuk penggunaan peralatan eksperimen dan memahami fungsi sesuatu teknologi.
Pendekatan sedemikian menunjukkan kepentingan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam membantu kanak-kanak memahami sesuatu perkara, di samping menggalakkan sifat ingin tahu dan keberanian untuk mencuba.
Dalam pada itu, beliau turut memuji pendekatan pembelajaran Tadika Cahaya Bintang Utara yang menerapkan semangat kerja berpasukan menerusi aktiviti berkumpulan.
Dato Sri Lee turut menyifatkan penguasaan pelbagai bahasa, khususnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, sebagai satu kelebihan penting dalam membuka lebih banyak peluang pendidikan dan kerjaya kepada generasi muda.
Menurut beliau, penguasaan Bahasa Cina khususnya memberi nilai tambah memandangkan bahasa itu digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa, selain perkembangan pesat China dalam bidang teknologi dan ekonomi. -EDISI UKAS