TATAU: Kelulusan peruntukan bagi pembinaan gelanggang futsal baharu di Taman Komuniti Sungai Jatan bakal memperluas kemudahan sukan dan rekreasi untuk golongan belia serta masyarakat setempat di kawasan Tatau.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta mengumumkan perkara itu ketika menghadiri Karnival Sukan Komuniti SABERKAS 2026 di Dewan SABERKAS, di sini, pada Sabtu.
Kemudahan tersebut dijangka menyediakan ruang yang lebih selesa kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti sukan, sekali gus menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam kegiatan sihat dan bermanfaat.
Beliau turut menekankan kepentingan pemimpin untuk sentiasa turun padang bagi mendengar permasalahan rakyat secara langsung, memahami keperluan masyarakat dan memberi perhatian terhadap isu yang dihadapi penduduk setempat.
Sementara itu, Pengerusi SABERKAS Cawangan Kakus, Mohammad Rizal Julaihi berkata, penganjuran karnival berkenaan merupakan antara usaha mendekati masyarakat melalui aktiviti sukan dan rekreasi yang mampu mengeratkan hubungan komuniti tanpa mengira peringkat umur.
Antara acara yang mendapat sambutan ialah Engkabang Run yang berjaya menghimpunkan seramai 500 peserta dan dilepaskan secara rasmi oleh Edwin.
Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti lain termasuk pertandingan memancing, futsal kanak-kanak dan sukaneka rakyat yang memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti riadah bersama. -EDISI UKAS