Dapatan SCWI Asas Perkukuh Intervensi Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak
KUCHING: Dapatan awal kajian Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak (SCWI) yang menunjukkan 54 peratus daripada 3,124 kanak-kanak mengalami kekurangan dalam sekurang-kurangnya tiga dimensi kesejahteraan akan menjadi rujukan penting dalam merangka intervensi lebih bersasar di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penemuan itu menggambarkan masih terdapat jurang kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan tindakan secara bersama.
“Dapatan awal kajian yang melibatkan 3,124 kanak-kanak menunjukkan bahawa 54% mengalami kekurangan dalam sekurang-kurangnya tiga dimensi kesejahteraan yang dinilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sarawak 2026, di sini pada Ahad.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Tambah Dato Sri Fatimah, kajian hasil kerjasama strategik Kerajaan Sarawak dan UNICEF Malaysia itu menilai kesejahteraan kanak-kanak berdasarkan tujuh dimensi utama, merangkumi ekonomi, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan sosial dan emosi, hubungan keluarga, keselamatan serta akses digital.
Katanya, laporan SCWI akan membantu kementerian dan agensi berkaitan mengenal pasti kumpulan serta kawasan yang memerlukan perhatian, selain memperkukuh penyelarasan antara agensi dalam merangka intervensi berasaskan bukti.
Majlis turut menyaksikan laporan SCWI diserahkan oleh Ketua Dasar Sosial UNICEF Malaysia, Dr Juanita Vasquez Escallon kepada Dato Sri Fatimah dengan disaksikan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah.
Mengulas aspek perlindungan, Dato Sri Fatimah berkata, kanak-kanak masih berhadapan pelbagai risiko keselamatan termasuk pengabaian, penderaan, buli, eksploitasi serta ancaman jenayah dalam talian.
“Perlindungan kanak-kanak mesti dilaksanakan secara menyeluruh. Kita bukan sahaja perlu bertindak apabila sesuatu kejadian berlaku, tetapi juga memperkukuh langkah pencegahan, pendidikan, pengesanan awal dan sokongan psikososial kepada kanak-kanak serta keluarga yang berisiko,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan awal yang inklusif bagi memastikan kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan atau ketidakupayaan mendapat peluang untuk belajar, bermain, berinteraksi dan berkembang bersama rakan sebaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Intervensi Awal Setempat (OSEIC) Kuching yang ditubuhkan pada 2020 telah menyediakan perkhidmatan diagnosis, penilaian dan intervensi awal kepada kanak-kanak yang memerlukan sokongan perkembangan.
Sejak 2022 hingga Jun 2026, seramai 3,051 kanak-kanak telah dan sedang menerima manfaat perkhidmatan pusat berkenaan.
Daripada jumlah itu, 518 kanak-kanak telah menamatkan program intervensi, dengan 145 orang mengikuti pendidikan aliran perdana, 303 orang meneruskan pendidikan di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), manakala 70 orang mengikuti pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK).
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam serta Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe. -EDISI UKAS