KUCHING: Empat penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan kekal sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi masing-masing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mendedahkan, mereka adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Penyandang ADUN Satok, Datuk Ibrahim Baki dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Penyandang ADUN Kedup, Datuk Martin Ben.
Turut diberi bayangan adalah Penyandang ADUN Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Penyandang ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim.
Beliau memberi bayangan ini dalam harapan agar jentera-jentera Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus menyokong mereka terus kekal sebagai Ahli Yang Berhormat bagi mewakili suara rakyat di kawasan masing-masing.
"Saya tak nak cakap banyak tapi saya nak anda terus menyokong Yang Berhormat (YB) agar mereka tetap menjadi YB.
"Para media sudah tahu kalau saya menyebut pasal ini, mereka akan terus tetap menjadi calonlah," katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Konvoi Bermotosikal Pemuda PBB di Dewan Serbaguna Kampung Matang Batu 10, di sini pada Ahad.
Kehadiran empat penyandang ADUN bagi menghadiri konvoi tersebut yang dihadiri 100 buah motosikal diketuai oleh Premier Sarawak yang akan bermula dari dewan serbaguna tersebut dan berakhir di Dewan Kampung Stakan Melayu.
Sepanjang perjalanan, konvoi tersebut akan menempuh perjalanan sejauh 1 jam 30 minit melalui Kampung Nombor sebelum ke Bintawa untuk melalui Jambatan Sejingkat yang telah siap sebelum bergerak ke Dewan Kampung Stakan Melayu untuk menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda PBB Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Luar Dato Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Parlimen Batang Lupar Mohammad Shafizan Kepli. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus