Datuk Amar Fadillah Sokong Penyandang ADUN Satok, Tupong Kekal Sebagai Calon
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Amar Fadillah Yusof terus menyokong agar Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin dan dan Penyandang ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki dicalonkan semula.
Beliau menyokong sepenuhnya memandangkan kedua-duanya merupakan penyandang ADUN di bawah parlimen Petra Jaya.
"Dato Fazzrudin, InshaAllah, akan terus menjadi calon, Premier Sarawak pun sudah memberitahu, InshaAllah akan terus menjadi calon dan menjadi ADUN kita di sini.
"Sama juga dengan sebelah sana iaitu Datuk Ibrahim Baki yang merupakan Ketua Cawangan PBB Satok, InsyaAllah, selesai pilihan raya terus kekal menjadi Yang Berhormat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Konvoi Bermotosikal Pemuda PBB yang dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Serbaguna Kampung Matang Batu 10, di sini pada Ahad.
Justeru, Datuk Amar Fadillah menyeru agar jentera-jentera pergerakan PBB terus menyokong sepenuhnya kepada calon yang akan bertanding pada 12 Disember ini.
Beliau berharap perjuangan yang dibuat GPS direstui dan mencipta kejayaan demi pembangunan Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri Luar Dato Lukanisman Awang Sauni, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Penyandang ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim dan Ahli Parlimen Batang Lupar Mohammad Shafizan Kepli. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus