KASUS 2026 Himpun 300 Peserta, 17 Pasukan Bersaing Dalam Dua Acara
BELAGA: Kira-kira 300 peserta dan penduduk setempat menyertai Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) 2026 yang berlangsung selama dua hari di Gelanggang Serbaguna, Pekan Belaga, dari 6 hingga 7 November.
Penganjuran oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Belaga itu menampilkan aktiviti senamrobik, pertandingan futsal lelaki dan bola tampar wanita bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Sebanyak 12 pasukan menyertai pertandingan futsal lelaki, manakala lima pasukan mengambil bahagian dalam acara bola tampar wanita.
BAKOBA FC muncul juara futsal lelaki, diikuti Viperlaxx FT di tempat kedua dan Labang Rajang di tempat ketiga.
Bagi acara bola tampar wanita, Pasukan Amo Manis meraih gelaran juara, manakala Santai Petang menduduki tempat kedua dan Seahorse FT dari Miri di tempat ketiga.
Majlis perasmian karnival pada 6 November disempurnakan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, manakala penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Pengerusi SABERKAS Cawangan Belaga, Justine Ase.
Selain menjadi ruang kepada golongan belia mengetengahkan bakat dalam bidang sukan, KASUS 2026 turut menggalakkan gaya hidup sihat, semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran karnival itu juga diharap dapat diteruskan bagi memperluas penyertaan belia dalam aktiviti sukan serta mengeratkan hubungan komuniti setempat. -EDISI UKAS