Solar Terapung Sungai Kuap Perluas Potensi Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Sarawak meneroka potensi teknologi solar terapung di Sungai Kuap sebagai pendekatan alternatif memperluas kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, teknologi berkenaan memanfaatkan permukaan air untuk menempatkan panel solar bagi menjana tenaga elektrik menggunakan cahaya matahari.
“Saya mahu membangunkan teknologi solar terapung yang mampu menjana tenaga elektrik.
“Kini, kita menggunakan teknologi tersebut di Sungai Kuap untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui dengan memanfaatkan cahaya matahari sebagai sumber penjanaan elektrik,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, di Dewan Kampung Stakan Melayu, pada Ahad.
Jelas Datuk Patinggi Abang Zohari, penerokaan teknologi itu mencerminkan usaha Sarawak memperluas pilihan dalam pembangunan tenaga hijau, khususnya menerusi penggunaan teknologi yang membolehkan sumber semula jadi dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan penjanaan elektrik.
Pendekatan berkenaan turut menyokong aspirasi jangka panjang Sarawak untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga serantau, selaras dengan hasrat menjadikan negeri ini sebagai ‘Battery of ASEAN’.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas. -EDISI UKAS