Sarawak Mahu Menjadi Penanda Aras Tadbir Urus, Pelaksanaan Dasar
KOTA SAMARAHAN: Sarawak mahu mengangkat pendekatan pentadbiran negeri sebagai penanda aras kepada Malaysia, dengan perpaduan masyarakat, kestabilan politik dan keupayaan melaksanakan dasar menjadi antara asas utama dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, matlamat perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar memastikan kedudukan politik negeri kekal kukuh, sebaliknya membina sebuah Sarawak yang mampu menjadi contoh kepada negeri lain.
“Kalau kita ada dasar, perjuangan kita hakikatnya untuk rakyat dengan mencari kedudukan mantap untuk rakyat, kita letakkan Sarawak setinggi-tingginya di Malaysia dan kita mahu Sarawak menjadi contoh kepada Malaysia dari segi politik, perpaduan, hormat-menghormati serta cara kita melaksanakan dasar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, di Dewan Kampung Stakan Melayu, pada Ahad.
Menurut beliau, aspirasi tersebut berteraskan kesinambungan perjuangan kepimpinan terdahulu yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas dalam menentukan arah pembangunan Sarawak.
Beliau berkata, kedudukan Sarawak yang ingin diperkukuh bukan hanya diukur melalui pencapaian pembangunan, malah turut bergantung kepada keupayaan mengekalkan keharmonian masyarakat dan kestabilan yang membolehkan dasar kerajaan dilaksanakan demi kepentingan rakyat. -EDISI UKAS