KOTA SAMARAHAN: Karnival Stakan 2026 menjadi platform memperkukuh hubungan komuniti dan menggalakkan penyertaan inklusif masyarakat menerusi pelbagai aktiviti sukan, rekreasi, keusahawanan dan kebudayaan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali berkata, penganjuran karnival selama lima hari bermula 4 hingga 8 November itu merupakan antara usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat, selain mengeratkan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Menurut beliau, program berkenaan dirangka bagi memastikan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, belia, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) berpeluang menyertai aktiviti yang disediakan.
“Penganjuran karnival ini bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, malah menyediakan peluang penyertaan kepada semua golongan termasuk kanak-kanak, belia, warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Karnival Stakan 2026 di UniCentral Commercial Park di sini, pada Sabtu.
Antara pengisian karnival termasuk perkhemahan santai (glamping), pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan reka bentuk kreatif, pertandingan OKU, memanah tradisional, Street Soccer, Stakan Idol, Night Run dan konsert kebudayaan.
Abang Ismawi turut menghargai penyertaan golongan OKU daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) seluruh Bahagian Samarahan yang mencerminkan komitmen penganjur dalam menyediakan ruang penyertaan kepada semua golongan.
Dalam aspek ekonomi, kira-kira 30 gerai makanan dan minuman disediakan sepanjang karnival bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan mempromosikan produk serta menjana pendapatan.
Sementara itu, acara Night Run yang dianjurkan dengan kerjasama JomRun turut mencatat penyertaan seramai 1,508 peserta bagi kategori tiga kilometer (km) dan lima km, sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan terhadap aktiviti riadah komuniti.
Beliau turut menggalakkan masyarakat sekitar Stakan dan Samarahan memanfaatkan hari terakhir penganjuran pada 8 November dengan mengunjungi karnival serta memberikan sokongan kepada usahawan tempatan.
Penganjuran karnival itu turut mendapat kerjasama SABERKAS, Belia Stakan, Pusat Khidmat, agensi kerajaan, JomRun, rakan kolaborasi dan sukarelawan.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Datuk Hamzah Brahim, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Timbalan Pengerusi MPKS, Daily Joseph dan Pengerusi Pengelola Karnival Perpaduan Stakan 2026, Profesor Madya Dr. Sopian Bujang.-EDISI UKAS