Gangguan Bekalan Global Memerlukan Sarawak Petchem Tingkat Pengeluaran Methanol Kepada 90 Peratus
KOTA SAMARAHAN: Gangguan bekalan methanol dari Timur Tengah membuka peluang kepada Sarawak Petchem meningkatkan kadar pengeluaran sehingga 90 peratus bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat di pasaran Asia, khususnya Taiwan dan China.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan geopolitik di rantau berkenaan mendorong negara-negara Asia mencari sumber bekalan alternatif bagi memastikan kelangsungan operasi industri masing-masing.
Menurut beliau, situasi itu meningkatkan permintaan terhadap bekalan methanol Sarawak Petchem apabila beberapa negara mula mendapatkan bahan mentah berkenaan daripada syarikat tersebut.
“Negara-negara di Asia kini mencari sumber alternatif bagi mendapatkan bahan mentah untuk keperluan industri mereka, dan mereka telah meminta Sarawak Petchem meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, di Dewan Kampung Stakan Melayu, pada Ahad.
Susulan peningkatan permintaan itu,
beliau mendedahkan Sarawak Petchem akan menaikkan kadar pengeluaran semasa yang berada antara 45 hingga 75 peratus kepada 90 peratus bagi menampung keperluan pasaran.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak Petchem mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 5,000 tan metrik sehari, sekali gus menyediakan ruang untuk meningkatkan bekalan susulan perkembangan permintaan tersebut.
Perkembangan itu turut memperlihatkan bagaimana perubahan rantaian bekalan global boleh membuka peluang kepada pengeluar tempatan untuk memperluas pasaran dan meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi keperluan industri serantau. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Mohd Hisyam Arif & Rais Sanusi