Hari Bersama Komuniti Lundu Dekatkan ATM Dengan Masyarakat Akar Umbi
LUNDU: Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aktiviti kemasyarakatan membuka ruang interaksi lebih dekat dengan penduduk setempat, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pertahanan negara dengan komuniti akar umbi.
Pendekatan itu dizahirkan menerusi penganjuran Hari Bersama Komuniti Lundu 2026 yang menarik kira-kira 1,000 pengunjung ke Town Square Lundu, pada Sabtu.
Program anjuran Majlis Daerah Lundu dengan kerjasama ATM itu merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 3 Briged 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 6 November.
Pelbagai pengisian berteraskan penyertaan komuniti disediakan sepanjang program, termasuk aktiviti Jalan Komuniti dan Jalan Rahmah, senam berirama, pertandingan sukan rakyat, pertandingan memasak serta pertandingan karaoke terbuka bagi kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Pertandingan baling kelapa secara berkumpulan turut menjadi antara tarikan utama dengan mengetengahkan elemen kerjasama, ketangkasan dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
Program turut dimeriahkan dengan persembahan karate, persembahan kebudayaan, hiburan pentas serta cabutan bertuah yang memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk turut serta.
Lebih daripada sekadar aktiviti rekreasi, pendekatan seumpama itu memberi peluang kepada masyarakat mengenali ATM melalui interaksi secara langsung, di samping meningkatkan pemahaman mengenai peranan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan dan pertahanan negara.
Penganjuran tersebut turut menyokong usaha menyemai semangat patriotisme serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan negara.
Turut hadir Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Zulkifli Yunus, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail. -EDISI UKAS