1,508 Peserta Meriahkan Fun Run Night Sempena Karnival Perpaduan Stakan 2026
KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,508 peserta memeriahkan acara Fun Run Night sempena Karnival Perpaduan Stakan 2026 di UniCentral Commercial Park di sini, pada Sabtu, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Daripada jumlah itu, 790 peserta menyertai kategori larian tiga kilometer (km), manakala 718 peserta lagi mengambil bahagian dalam kategori lima km.
Setiausaha Politik kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Datuk Hamzah Brahim berkata, sambutan menggalakkan itu mencerminkan minat masyarakat terhadap aktiviti riadah yang bukan sahaja menyihatkan, malah mengeratkan hubungan komuniti.
Menurut beliau, penganjuran larian pada waktu malam bersesuaian dengan persekitaran kawasan Stakan yang mempunyai laluan sesuai untuk aktiviti berkenaan.
“Alhamdulillah, tahun ini seramai 1,508 peserta mengambil bahagian. Saya berharap pada tahun hadapan jumlah penyertaan dapat ditingkatkan lagi berbanding tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan sebelum menyempurnakan pelepasan peserta kategori tiga km pada jam 8 malam, diikuti kategori lima km pada jam 8.15 malam.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah turut mengalu-alukan penyertaan masyarakat dari luar Samarahan, termasuk Kuching, Bintulu dan kawasan lain di Sarawak bagi memeriahkan penganjuran karnival pada masa akan datang.
Sementara itu, beliau mengumumkan subsidi sebanyak RM200 kepada setiap satu daripada 30 gerai perniagaan yang beroperasi sepanjang karnival bagi membantu mengurangkan kos sewaan tapak.
Inisiatif melibatkan peruntukan keseluruhan RM6,000 itu diharap dapat meringankan beban peniaga, selain menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan menyertai karnival berkenaan pada tahun hadapan.
Penganjuran Fun Run Night turut menjadi platform menghimpunkan masyarakat pelbagai peringkat umur dalam suasana santai, sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan komuniti.
Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Timbalan Pengerusi MPKS, Daily Joseph dan Pengerusi Pengelola Karnival Perpaduan Stakan 2026, Profesor Madya Dr. Sopian Bujang.-EDISI UKAS