679 Peserta Catat Rekod Baharu Serian International Cross Country Half Marathon
SERIAN: Penyertaan seramai 679 peserta dalam Serian International Cross Country Half Marathon 2026 mencatat rekod tertinggi sepanjang lima edisi penganjurannya, sekali gus memperlihatkan potensi acara sukan itu sebagai pemangkin pelancongan dan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Pengerusi Majlis Daerah Serian (MDS), Dato Peter Minos berkata, peningkatan penyertaan berkenaan menunjukkan sambutan terhadap acara itu semakin berkembang, selain membuka peluang mempromosikan Serian sebagai destinasi pelancongan sukan.
Jumlah peserta tahun ini meningkat berbanding 580 orang pada 2025 dan 550 orang pada 2024, mencerminkan perkembangan positif penganjuran acara yang berlangsung di Kampung Daha Kisau, di sini pada Ahad.
Menurutnya, kejohanan itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada aktiviti sukan dan rekreasi, malah bertujuan menarik kehadiran pengunjung ke Bahagian Serian serta memperkenalkan kawasan pedalaman kepada peserta dari dalam dan luar kawasan.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan, iaitu 21 kilometer (KM) Terbuka, 21KM Veteran, 10KM Terbuka, 10KM Veteran dan 5KM Fun Run.
Kategori 5KM Fun Run merekodkan penyertaan tertinggi dengan 172 peserta, diikuti 10KM Terbuka (144), 21KM Terbuka (138), 21KM Veteran (132) dan 10KM Veteran (92).
Bagi kategori 21KM Terbuka Lelaki, Arikchely Ariyi Arikah muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala Gerald anak Gayar menduduki tempat kedua (RM800) dan Wong Chin Chai di tempat ketiga (RM500).
Kategori 21KM Wanita pula menyaksikan Cherynna Corey Chin muncul juara, diikuti Lim Suet Fah di tempat kedua dan Mackleena Sedi di tempat ketiga.
Jasuel Lukim menjuarai kategori 21KM Veteran Lelaki, manakala Lau Nail Ching muncul juara kategori 21KM Veteran Wanita.
Secara keseluruhan, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM17,000 berserta medal dan piala kepada para pemenang.
Selain menarik penyertaan dalam acara sukan, penganjuran itu turut menyediakan ruang ekonomi kepada penduduk setempat menerusi gerai jualan hasil tanaman tempatan dan Jualan Rahmah, selain persembahan pentas hiburan.
Penganjuran berterusan kejohanan itu diharap dapat memperluas potensi Serian sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi, di samping meningkatkan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Serian Muhammad Nazarene Mayiddin, Setiausaha Majlis Daerah Serian Janice Abraham dan Dato Temenggong Henry Bujang Senden. -EDISI UKAS