Pesta Telaga Air 2026 Rancakkan Pelancongan, Ekonomi Komuniti
KUCHING: Pesta Telaga Air 2026 terus menjadi platform memperkukuh potensi pelancongan dan merancakkan ekonomi komuniti setempat, khususnya melalui peluang perniagaan serta penglibatan usahawan tempatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, penganjuran pesta yang memasuki edisi ke-19 itu membuktikan kemampuan Telaga Air berkembang sebagai destinasi pelancongan dan pusat aktiviti ekonomi masyarakat.
Menurut beliau, sejak diperkenalkan pada 2007, pesta berkenaan telah berkembang daripada program berskala kecil kepada acara tahunan yang mampu menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan.
Katanya, penganjuran pesta seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat, malah membuka peluang kepada peniaga dan usahawan tempatan menjana pendapatan serta memperkenalkan keunikan Telaga Air.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Telaga Air 2026 di Pentas Utama Telaga Air pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Abdul Rahman berkata, Telaga Air dan kampung sekitarnya mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, khususnya golongan belia.
Pembangunan institusi pendidikan tinggi berhampiran kawasan berkenaan turut dilihat berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, selain menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya kepada generasi muda.
Sementara itu, beliau memaklumkan kerja menaik taraf laluan pejalan kaki ke jeti (gangway) di Telaga Air bernilai kira-kira RM230,000 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan antara usaha meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk serta pengunjung.
Pesta Telaga Air 2026 dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telaga Air.-EDISI UKAS