Premier Sarawak Raikan Deepavali Di Rumah Kediaman Dato Dr Kalwinder
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meraikan Hari Deepavali di rumah kediaman Presiden Gurdwara Sahib Kuching Dato Dr Kalwinder Singh Khaira pada Ahad.
Kunjungan ini bagi bersama-sama memeriahkan sambutan perayaan penganut agama Hindu yang diraikan di seluruh negara pada hari ini.
Ketibaan Datuk Patinggi Abang Zohari diiringi bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian pada sekitar 3 petang telah disambut oleh Dato Dr Kalwinder bersama ahli keluarganya.
Dalam kunjungan itu, Premier Sarawak berkesempatan beramah mesra bersama ahli keluarga Dato Dr Kalwinder serta meluangkan masa menjamu selera bersama.
Hampir 1 jam di rumah kediaman tersebut, Premier Sarawak mengakhiri kunjungannya dengan memotong kek bersama ahli keluarga Dato Dr Kalwinder sebagai simbolik sambutan perayaan Deepavali di samping merakam gambar bersama sebelum berangkat pulang pada sekitar 4 petang.
Beliau meneruskan kunjungan Deepavali ke Peguam Kanan merangkap Presiden Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman Kuching Dato Shankar Ram Asnani di King's Curry di Jalan Rumbia. -EDISI UKAS