Pembangunan Infrastruktur Perkukuh Akses Ke Pedalaman Baram
KUCHING: Pembangunan jaringan jalan raya dan jambatan di kawasan Baram menjadi pemangkin kepada usaha membuka akses ke kawasan pedalaman yang sebelum ini terasing, sekali gus membolehkan potensi ekonomi baharu diterokai menerusi penggunaan teknologi moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peningkatan kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur membolehkan kawasan berkenaan dihubungkan dengan kawasan lain, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Dengan adanya hubungan perhubungan ini, kawasan tersebut tidak lagi terasing,”.
“Dengan teknologi baharu, kita boleh membangunkan kawasan Baram. Antaranya dengan menggunakan teknologi moden seperti perdagangan karbon,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Rumah Terbuka Deepavali anjuran Dato Shankar R P Asnani, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, antara usaha yang dilaksanakan termasuk pembinaan jalan raya dari kawasan berhampiran bangunan Forum Orang Ulu melalui Marudi, selain sebuah jambatan yang telah siap dibina bagi meningkatkan akses ke kawasan pedalaman.
Beliau berkata, laluan dari Marudi ke kawasan Ulu yang melibatkan jarak kira-kira 140 kilometer turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, peningkatan akses itu membolehkan kawasan Baram dibangunkan dengan memanfaatkan teknologi moden, termasuk menerusi aktiviti perdagangan karbon yang berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan bahawa pembangunan Sarawak perlu terus diperkukuh bagi menghadapi perubahan landskap ekonomi global menjelang dan selepas 2030, termasuk melalui penerapan teknologi serta pembangunan kepakaran dalam pelbagai bidang profesional.
Beliau turut menekankan bahawa kestabilan politik dan perpaduan masyarakat merupakan asas penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan negeri serta membolehkan setiap komuniti bersama-sama menikmati manfaat kemajuan Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki dan Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau. -EDISI UKAS