LUNDU: Penganjuran Program Perkhemahan Kanak-Kanak Persatuan Apostolik (AWC) Kampung Jantan menjadi platform memperkukuh pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai kerohanian dalam kalangan generasi muda, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Billy Sujang berkata, pendidikan yang seimbang antara ilmu pengetahuan dan nilai keagamaan penting bagi melahirkan generasi berintegriti, berdaya tahan serta memiliki jati diri yang kukuh.
Menurut beliau, penerapan nilai murni sejak usia muda mampu membentuk kanak-kanak yang bertanggungjawab, menghormati orang tua dan bijak menghadapi cabaran kehidupan.
“Gabungan ilmu dan agama merupakan benteng utama anak-anak dalam menghadapi cabaran dunia moden. Kita bukan sahaja mahu melahirkan generasi yang bijak pandai, tetapi juga mempunyai ketahanan jiwa, berintegriti dan menghormati orang tua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perkhemahan Kanak-Kanak AWC Kampung Jantan di Gereja AWC Kampung Jantan pada Sabtu.
Billy turut memuji usaha penganjur menyediakan ruang pembelajaran di luar bilik darjah yang dapat memupuk sifat berdikari, semangat kerjasama, keyakinan diri dan kemahiran sosial dalam kalangan peserta.
Katanya, aktiviti seumpama itu juga menjadi alternatif sihat bagi mengurangkan kebergantungan kanak-kanak terhadap penggunaan gajet secara berlebihan, selain menggalakkan interaksi sosial dan penghargaan terhadap alam sekitar.
“Program seperti ini memberi peluang kepada anak-anak untuk berinteraksi secara sihat, membina keyakinan diri dan menghargai alam ciptaan Tuhan, sekali gus membentuk keseimbangan antara pembangunan fizikal, mental dan kerohanian,” ujarnya.-EDISI UKAS