100 Rumah Mampu Milik Bakal Dibina Untuk Anak Muda Samariang
KUCHING: Sebanyak 100 unit rumah mampu milik bakal dibina menerusi pembangunan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Semariang bagi fasa pertama, khusus untuk membantu golongan muda di kawasan Samariang memiliki kediaman sendiri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, projek berkenaan telah mendapat kelulusan dana serta pelan pelaksanaan dan akan menjadi antara inisiatif pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, penyediaan rumah mampu milik itu merupakan antara usaha kerajaan Sarawak memenuhi keperluan perumahan masyarakat, khususnya generasi muda yang memerlukan kediaman pada harga lebih berpatutan.
“Fasa pertama itu melibatkan 100 buah rumah mampu milik khusus untuk penduduk di Samariang, terutama anak-anak muda kita, dan projek ini telah mendapat kelulusan dana serta pelan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Wanita Samariang, di sini pada Ahad.
Selain inisiatif perumahan, beliau berkata, pelaksanaan pelbagai program pembangunan di Samariang mencerminkan usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memenuhi keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pergerakan Wanita PBB Cawangan Samariang atas penganjuran program yang menyediakan ruang kepada golongan wanita untuk berinteraksi serta melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.
Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, yang turut mengendalikan demonstrasi memasak sebagai antara pengisian utama program.
Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang, Hanifah Saed dan Naib Yang Dipertua Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarawak Toh Puan Hayati Ahmat. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil