DARO: Persaingan mendapatkan mandat rakyat tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan baik sesama masyarakat, sebaliknya perlu berlangsung dalam suasana saling menghormati.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, perbezaan pendirian politik perlu ditangani secara bijaksana tanpa menjejaskan perpaduan.
Beliau menegaskan bahawa pertimbangan terhadap sensitiviti kaum dan agama amat penting bagi mengelakkan perselisihan politik berkembang menjadi pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.
“Secara peribadi, saya lebih mengutamakan persahabatan berbanding permusuhan. Walaupun kesempurnaan tidak dapat dijanjikan, saya mampu menawarkan kesungguhan, usaha tanpa jemu dan keberanian menyuarakan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Pulau Bruit 2026, di Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Semop, Daro pada Ahad.
Menurut Datuk Abdullah, perbezaan ideologi bukan alasan untuk memutuskan hubungan kerana setiap individu mempunyai hak menentukan hala tuju perjuangan masing-masing, termasuk menyertai pilihan raya.
Katanya, hubungan sesama pemimpin dan masyarakat sewajarnya terus dipelihara selepas berakhirnya pilihan raya melalui komunikasi terbuka serta pertukaran pandangan secara profesional.
Beliau turut berpandangan bahawa agenda pembangunan ekonomi baharu dan digital yang dibawa kerajaan perlu diselaraskan dengan keadaan setempat supaya kepentingan masyarakat tidak terpinggir.
Dalam pada itu, pengalaman mewakili DUN Semop sebelum ini memberikan pemahaman mengenai keperluan penduduk, khususnya berkaitan kemudahan jalan raya, jambatan kecil dan jeti yang memerlukan penambahbaikan.
Datuk Abdullah berkata, usaha menangani masalah bekalan air dan elektrik yang masih belum stabil sepenuhnya juga perlu diteruskan bagi memastikan kemudahan asas penduduk mendapat perhatian sewajarnya.-EDISI UKAS