Ketahanan Infrastruktur Hadapi Perubahan Iklim Perlu Jadi Keutamaan
KUCHING: Perancangan dan pembangunan infrastruktur di Sarawak perlu mengambil kira risiko perubahan iklim bagi memastikan kemudahan awam kekal berfungsi, selamat dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, golongan jurutera memainkan peranan penting dalam memastikan reka bentuk infrastruktur mengambil kira kemungkinan berlakunya cuaca ekstrem, termasuk banjir dan kemarau berpanjangan.
Menurut beliau, perubahan iklim bukan sahaja meningkatkan risiko bencana alam, malah boleh menjejaskan bekalan air, aktiviti pertanian dan penjanaan tenaga hidro yang menjadi antara keperluan penting pembangunan negeri.
Justeru, beliau berkata, Sarawak perlu bersedia menghadapi kedua-dua keadaan ekstrem, iaitu lebihan air akibat hujan berterusan dan kekurangan air susulan tempoh kering yang berpanjangan.
"Di sinilah jurutera mempunyai tanggungjawab penting. Kita memerlukan sistem perlindungan banjir, saliran dan pengurusan air yang lebih baik, selain infrastruktur yang direka bentuk untuk menghadapi perubahan keadaan iklim," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Ahad.
Premier Sarawak turut menegaskan bahawa aspek ketahanan infrastruktur perlu dipertimbangkan melangkaui keperluan semasa, dengan mengambil kira keupayaan sesuatu kemudahan untuk berfungsi dalam tempoh 20 hingga 50 tahun akan datang.
Menurutnya, kemajuan teknologi dalam ramalan iklim, pemodelan digital dan sistem pemantauan juga boleh dimanfaatkan bagi membantu mengenal pasti risiko serta memperkukuh perancangan pembangunan.
Beliau berharap golongan jurutera dapat memainkan peranan lebih besar dalam merangka penyelesaian kejuruteraan yang bukan sahaja memenuhi keperluan pembangunan semasa, malah mampu menangani cabaran perubahan iklim pada masa hadapan.-EDISI UKAS