Dua Projek Bernilai RM14 Juta Bakal Lengkapkan Kemudahan Awam Pulau Bruit
DARO: Pembinaan Dewan Masyarakat Pulau Bruit dan medan selera bernilai lebih RM14 juta dijangka bermula tahun depan bagi menambah baik kemudahan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kedua-dua projek berkenaan penting bagi memenuhi keperluan penduduk.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan tersebut bakal memberikan ruang lebih sesuai kepada masyarakat untuk menganjurkan program, selain menyediakan tempat perniagaan lebih selesa kepada peniaga tempatan.
“Apabila siap kelak, dewan masyarakat itu boleh dimanfaatkan sebagai lokasi penganjuran Pesta Pulau, sekali gus membolehkan pelbagai aktiviti berlangsung dengan lebih tersusun,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Pulau Bruit 2026, pada Ahad.
Mengulas perkembangan pelaksanaan projek, Datuk Abdullah berkata, kedua-dua kemudahan tersebut mengalami kelewatan berikutan agensi pelaksana turut mengendalikan pelbagai projek pembangunan di seluruh Sarawak.
Katanya, tanggungjawab menguruskan projek berskala kecil dan sederhana di pelbagai kawasan memerlukan penyelarasan sebelum pelaksanaan dapat diteruskan mengikut perancangan ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dapat memahami proses pelaksanaan pembangunan yang memerlukan tempoh tertentu serta memberikan kerjasama kepada agensi berkaitan.
Tambahnya, usaha memperluas pembangunan infrastruktur dan menyediakan kemudahan asas di kawasan pedalaman serta luar bandar terus menjadi antara keutamaan kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS