Kerjasama Pelbagai Disiplin Penting Tangani Cabaran Pembangunan Sarawak
KUCHING: Kerjasama antara jurutera dengan golongan profesional daripada pelbagai bidang semakin diperlukan bagi menangani cabaran pembangunan yang melibatkan sektor tenaga, perubahan iklim, kecerdasan buatan dan industri maju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cabaran tersebut tidak dapat ditangani oleh satu disiplin kejuruteraan atau profesion secara bersendirian.
Beliau berkata, jurutera perlu bekerjasama dengan saintis, penyelidik, ahli ekonomi dan pakar teknologi bagi menangani cabaran yang semakin kompleks.
“Cabaran-cabaran yang mendatang tidak dapat ditangani oleh mana-mana disiplin kejuruteraan atau profesion secara bersendirian.
“Bidang tenaga, perubahan iklim, kecerdasan buatan (AI) dan industri-industri termaju semakin menuntut jurutera untuk bekerjasama dengan saintis, penyelidik, ahli ekonomi, serta pakar teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan jurutera supaya melangkaui bidang kepakaran masing-masing serta menjalinkan kerjasama merentas industri dan institusi bagi membuka ruang kepada idea baharu serta penyelesaian yang praktikal.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan kepentingan mengekalkan standard profesional yang tinggi dalam bidang kejuruteraan, khususnya dari aspek kompetensi teknikal, integriti dan tanggungjawab profesional memandangkan keputusan kejuruteraan berkait rapat dengan keselamatan awam serta kebolehpercayaan infrastruktur.
Selain itu, katanya, pembangunan generasi jurutera seterusnya perlu diberi perhatian melalui kerjasama IEM dengan universiti, sekolah dan industri, termasuk menerusi bimbingan, latihan teknikal serta pembangunan profesional bagi memastikan jurutera muda bersedia menghadapi teknologi baharu dan perubahan dalam industri.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Presiden IEM Ir. Yau Chau Fong, Pengerusi IEM Sarawak Datu Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS