Golden Throne 1 Putera Kuala Lawas Rangkul Gelaran Raja Sungai Regatta Lawas 2026
LAWAS: Pasukan Golden Throne 1 Putera Kuala Lawas muncul juara acara Pengkayuh Lelaki Terbuka Akhir untuk dinobatkan sebagai Raja Sungai Lawas 2026 sempena Regatta Lawas 2026.
Kejayaan itu melengkapkan pencapaian berganda pasukan berkenaan selepas turut merangkul gelaran Raja Sungai Limbang 2026 pada tahun ini.
Kemenangan tersebut melayakkan Golden Throne 1 Putera Kuala Lawas membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta piala.
Tempat kedua menjadi milik pasukan Nur Rahim Awat-Away, manakala Ratu Helang Brunei menduduki tempat ketiga.
Gagak Hitam 2 Putera Kuala Lawas berada di tempat keempat, diikuti Sinampuan 3 di tempat kelima dan Nur Rahman Awat-awat di tempat keenam.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sini pada Ahad.
Regatta Lawas 2026 yang merupakan sebahagian daripada pengisian Pesta Lawas turut menerima penyertaan komuniti dari Lawas, Limbang, Brunei Darussalam dan Sabah.
Selain perlumbaan perahu, pesta berkenaan turut menampilkan persembahan kebudayaan, pameran warisan dan adat tradisional pelbagai kaum, pameran agensi kerajaan serta aktiviti keusahawanan yang melibatkan pengusaha dan peniaga tempatan.
Pelbagai pengisian itu menjadikan Pesta Lawas sebagai platform mengetengahkan warisan budaya, kegiatan ekonomi tempatan serta interaksi masyarakat dari kawasan berbeza.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS