Sarawak Tidak Akan Berundur Dalam Mempertahankan Hak Di Bawah MA63
BINTULU: Kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan dan memperjuangkan hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berlandaskan fakta serta peruntukan yang sah demi memastikan kepentingan Sarawak dan rakyatnya terus terpelihara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, pendirian itu akan terus menjadi pegangan beliau dalam memperjuangkan hak Sarawak, termasuk perkara yang perlu diselesaikan melalui proses perundangan.
“Saya berjuang atas fakta dan hak kita dalam MA63. Selagi saya memimpin Sarawak, saya tidak akan berundur dalam memperjuangkan hak kita di bawah MA63,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Jambatan Batang Kemena, Sebauh di sini pada Isnin.
Dalam hubungan itu, beliau turut menyentuh kepentingan meningkatkan sumber pendapatan Sarawak bagi membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas untuk rakyat.
Katanya, kekuatan kewangan negeri membolehkan Kerajaan Sarawak membiayai pelbagai projek strategik termasuk pembinaan jalan raya, jambatan serta penyediaan bekalan air dan tenaga.
“Kita membangun secara diam-diam tanpa perlu banyak retorik. Apa yang penting ialah hasil pembangunan yang dapat dilihat dan dinikmati rakyat.
“Sarawak terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan jambatan dan jalan raya demi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak turut memberikan perhatian terhadap usaha menaik taraf jalan bekas pembalakan yang digunakan masyarakat luar bandar, khususnya penduduk rumah panjang.
Menurutnya, lebih 5,000 kilometer jalan pembalakan dikenal pasti dalam usaha pengambilalihan dan penambahbaikan jaringan perhubungan berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti.-EDISI UKAS