Hasil Negeri RM15 Bilion Buka Ruang Perluas Bantuan, Pembangunan Rakyat
BINTULU: Unjuran hasil pendapatan Sarawak mencecah RM15 bilion pada 2027 akan meningkatkan keupayaan kerajaan negeri memperluas bantuan kebajikan, pendidikan serta pembangunan infrastruktur untuk manfaat rakyat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif berkenaan meliputi bantuan kepada bayi yang baru dilahirkan, pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta golongan warga emas.
“Hal ini kerana, usaha meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dengan pendidikan dan pembangunan infrastruktur terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan negeri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Randau, di sini pada Ahad.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur, Datuk Amar Douglas Uggah turut menyentuh usaha menaik taraf jalan balak, termasuk laluan di kawasan Tatau bagi meningkatkan akses perhubungan dan memudahkan pergerakan penduduk setempat.
Turut hadir, Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Paulus Dandee Banyang dan Petrus Igat Matias. -EDISI UKAS