JBALB Diseru Segerakan Tindakan Atasi Gangguan Bekalan Air Di Lawas
LAWAS: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diseru untuk menyegerakan langkah menangani gangguan bekalan air di Lawas, termasuk menyelaras penghantaran air menggunakan tujuh pusat khidmat bagi mengurangkan kesulitan penduduk dan sektor perniagaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau kecewa kerana masalah bekalan air masih berlarutan walaupun arahan penyelesaian telah diberikan ketika lawatan ke kawasan pengambilan air dua bulan lalu.
“Saya tidak mahu rakyat terus menderita disebabkan gangguan bekalan air yang begitu kerap.
“Perkara ini sangat mendesak dan langkah-langkah jangka pendek perlu diselaraskan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau perkembangan usaha menangani masalah bekalan air di Lawas, pada Sabtu.
Menurutnya, JBALB perlu menyusun penghantaran bekalan air melalui tujuh pusat khidmat yang tersedia, dengan memberi keutamaan kepada kawasan bandar dan lokasi penting yang terjejas.
Dalam usaha memastikan operasi pengambilan air berjalan lancar, kerja mengatasi masalah mendapan pasir turut dipertingkatkan menerusi penggunaan floating excavator dan long-arm excavator.
Beliau turut mengarahkan supaya sebuah lagi ‘floating excavator’ disediakan serta pam terapung dipasang dalam tempoh terdekat bagi memastikan pengambilan air dapat diteruskan walaupun berlaku perubahan aliran sungai.
Bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan Sarawak telah meluluskan projek peningkatan kapasiti bekalan air sebanyak 50 juta liter sehari (MLD), merangkumi pembinaan pengambilan air baharu dan loji rawatan air di kawasan Sungai Pengalih.
Datuk Amar Awang Tengah menegaskan, JBALB perlu memastikan semua langkah yang diarahkan dilaksanakan segera, selain memperkemas penyelarasan operasi bagi mengelakkan gangguan bekalan air terus menjejaskan kehidupan penduduk dan aktiviti ekonomi di Lawas. -EDISI UKAS