Wushu Berpotensi Perluas Penyertaan Belia Pelbagai Kaum Di Sarawak
BINTULU: Penyertaan golongan muda daripada pelbagai kaum dalam sukan wushu berpotensi diperluas bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat.
Sukan yang berasal daripada seni mempertahankan diri tradisional masyarakat Cina itu kini berpeluang menarik penyertaan lebih meluas, termasuk dalam kalangan kaum Melayu, Iban, Bidayuh dan etnik lain.
Pendedahan kepada sukan berkenaan sejak usia muda bukan sahaja membuka ruang kepada pembangunan bakat sukan, malah memberi peluang kepada kanak-kanak daripada latar belakang berbeza untuk berlatih dan bertanding bersama.
Perkara itu antara yang diketengahkan pada majlis penutupan Kejohanan Wushu Bahagian Bintulu dan Kejohanan Jemputan Wushu Jun Wei 2026 di Boulevard Shopping Mall, pada Ahad.
Selain memperluas penyertaan, pencapaian atlet wushu Sarawak dalam pertandingan antarabangsa turut menunjukkan potensi atlet muda negeri ini untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi memerlukan latihan berterusan serta kerjasama jurulatih, guru dan ibu bapa dalam membimbing perkembangan bakat sejak peringkat awal.
Wushu juga memberi manfaat dari aspek kecergasan fizikal, koordinasi dan kelenturan badan, selain membantu membentuk disiplin, kesabaran, ketekunan serta keyakinan diri.
Penyertaan dalam pertandingan pula menjadi ruang kepada atlet muda menimba pengalaman, menilai prestasi dan meningkatkan kemahiran, tanpa menjadikan kemenangan serta pingat sebagai satu-satunya ukuran kejayaan. -EDISI UKAS