Pelaburan AS$1 Bilion Pacu Industri Petrokimia Sarawak, Buka Peluang Pekerjaan Berkemahiran Tinggi
BINTULU: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya dalam industri petrokimia bernilai tinggi menerusi cadangan pelaburan antarabangsa bernilai kira-kira AS$1 bilion di Bintulu, sekali gus membuka potensi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan industri hiliran berasaskan gas merupakan antara langkah strategik Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan nilai sumber asli negeri melalui penghasilan produk yang mempunyai permintaan di pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, cadangan pelaburan tersebut melibatkan kerjasama Indorama Ventures Public Company Limited, HighChem Company Limited dan Sakura Ferroalloys.
"Baru-baru ini, saya berjumpa dengan Indorama yang mahu melabur AS$1 bilion dan pelaburan ini akan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sarawak,” katanya semasa Majlis Perasmian Jambatan Batang Kemena, Sebauh pada Isnin.
Sementara itu jelasnya, Sarawak terus meneroka pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem digital bernilai tinggi menerusi kerjasama strategik dengan SoftBank Group Corp.
Katanya, kerjasama ini bagi meneroka pembangunan platform infrastruktur AI dan digital secara berfasa di Sarawak.
"PETROS akan menyumbang kepakaran dalam penyediaan penyelesaian bekalan tenaga dan infrastruktur sokongan, manakala SoftBank membawa keupayaan teknologi, rangkaian digital serta pengalaman masing-masing dalam ekosistem AI," katanya.
Dalam hubungan itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh bidang pendidikan dan latihan teknikal, khususnya kejuruteraan serta teknologi bagi memastikan anak Sarawak mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh industri.
Beliau menegaskan, pembangunan industri baharu perlu memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta pemindahan teknologi dan kepakaran.-EDISI UKAS