Pelan Induk BDA Rangkumi Sebauh, Sebahagian Tatau, Perluas Limpahan Pembangunan Bintulu
BINTULU: Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan pembangunan wilayah secara bersepadu dengan memasukkan kawasan Sebauh dan sebahagian Tatau dalam perancangan Pelan Induk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi Bintulu turut dinikmati penduduk di kawasan sekitarnya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah itu bertujuan memastikan pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan kawasan penempatan dapat dirancang secara lebih tersusun serta seiring dengan perkembangan pesat Bintulu sebagai pusat perindustrian utama Sarawak.
Menurut beliau, pembangunan Bintulu tidak seharusnya tertumpu di kawasan bandar semata-mata, sebaliknya perlu memberikan kesan limpahan ekonomi kepada kawasan berdekatan termasuk Sebauh dan Tatau.
"Maka perancangannya, untuk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) termasuk rancangan di Sebauh dan Tatau, dari sudut itulah maka kita mempunyai Pelan Induk, BDA yang mengambil kira pembangunan Sebauh dan juga sebahagian daripada Tatau.
"Kerana kalau kita lihat dari sudut ekonomi, balau Bintulu membangun ia akan melimpah kepada kawasan yang berdekatan dengan Bintulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Jambatan Batang Kemena, Sebauh di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga lagi projek infrastruktur jalan raya turut diketengahkan menerusi simbolik penyerahan kelulusan projek yang disaksikan Premier Sarawak.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan baharu dari Pandan ke Ulu Binyo di Sebauh, Bintulu, selain menaik taraf bekas jalan pembalakan di Ulu Jelalong, Tubau, Sebauh serta di Muput-Penyarai, Daerah Tatau.
Majlis itu turut merangkumi simbolik penyerahan projek penyelenggaraan jalan balak di bawah inisiatif RCEA, yang memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kemudahan perhubungan di kawasan pedalaman.
Kesemua inisiatif berkenaan memperlihatkan pendekatan pembangunan bersepadu Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemajuan infrastruktur tidak hanya tertumpu di kawasan bandar sebaliknya turut diperluas ke kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, perasmian Jambatan Batang Kemena, Sebauh menjadi satu lagi pemangkin penting kepada pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi di kawasan Sebauh, Tatau serta kawasan sekitarnya seiring dengan kepesatan pembangunan Bintulu sebagai hab perindustrian utama Sarawak.
Katanya, pembangunan pesat Bintulu turut membawa kesan limpahan positif kepada kawasan hiliran, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Memang kita perlu mencari jalan untuk merealisasikan pembangunan ini. Akhirnya, kita berjaya memperoleh dana bagi membina dua jambatan di Batang Kemena yang dirasmikan dalam tempoh enam tahun, dengan kos keseluruhan melebihi setengah bilion ringgit.
“Semua ini menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri tanpa perlu bergantung kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan. Kalau kita minta sekalipun, belum tentu peruntukan itu akan diperoleh,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti.-EDISI UKAS